Seperti yang telah dijanjikan, pada entri kali ini, admin akan menceritakan dengan lebih mendalam lagi mengenai program Kahoot! Ambassador. Jika cikgu mempunyai hasrat untuk bergelar seorang duta Kahoot!, maka panduan yang admin sediakan ini sedikit sebanyak dapat membantu cikgu.
Apa itu Kahoot! Ambassador?
Program Kahoot! Ambassador () ini merupakan kesinambungan daripada program Kahoot! Certified. Ia merupakan salah satu inisiatif daripada Kahoot! untuk mengumpulkan warga pendidik dari seluruh pelosok dunia yang aktif menggunakan platform kuiz atas talian ini dalam PdPc, dan juga menunjukkan minat yang tinggi dalam mengimplementasikan pembelajaran berasaskan permainan (game-based learning) dalam bilik darjah.
Yakni, duta Kahoot! akan menjadi ejen dalam menyebarluaskan penggunaan platform kuiz atas talian ini melalui pelbagai sesi latihan dan bengkel yang dijalankan di negara masing-masing.
Kelebihan sebagai Kahoot! Ambassador
Kahoot! menyediakan pelbagai keistimewaan kepada duta-duta Kahoot! termasuklah pemberian cenderamata (goodies) eksklusif daripada Kahoot!, pelbagai peluang keemasan untuk berkolaborasi sesama duta dan juga dengan K!rew, duta dapat berhubung terus dengan pihak Kahoot!, dan juga berpeluang untuk bergerak seiring membawa Kahoot! maju ke hadapan.
Cenderamata (goodies) eksklusif
- Langganan percuma akaun Kahoot! premium for schools (bernilai USD$72 atau RM288/setahun).
- Pemberian cenderamata eksklusif untuk duta dan juga untuk diberikan sebagai hadiah semasa program dan bengkel.
- Akses kepada ruangan forum khas untuk duta-duta, di mana duta dapat juga berhubung terus dengan K!rew melalui medium tersebut.
- Mengetahui kemaskini terkini Kahoot! melalui sesi video webinar bersama K!rew.
- Lencana digital eksklusif yang boleh digunapakai dalam tandatangan (signature) emel.
Membawa Kahoot! maju ke hadapan
- Akses awal kepada maklumat dan kemaskini terkini aplikasi Kahoot!.
- Akses kepada sumber bahan rasmi yang boleh digunakan semasa mengendalikan sesi latihan dan bengkel mengenai Kahoot!.
Pelbagai peluang keemasan
- Akses kepada jaringan komuniti duta Kahoot! dari seluruh pelosok dunia.
- Pembangunan kepimpinan melalui peluang berucap, pementoran dan latihan.
- Berpeluang untuk menulis dalam blog Kahoot!.
- Peluang untuk bekerjasama dan juga menerima konsultansi daripada Kahoot!.
Bagaimana untuk memohon?
Terdapat tiga langkah permohonan yang perlu cikgu ikuti dan penuhi.
Langkah 1: Mencapai status Kahoot! Certified Gold
Jika cikgu telah memiliki sijil pengiktirafan Kahoot! Certified Gold, sila teruskan dengan langkah 2. Jika belum, cikgu perlu menyertai program Kahoot! Certified () terlebih dahulu, di mana cikgu perlu mengambil dan lulus ujian bagi kesemua tiga kursus teras Kahoot!, iaitu Bronze, Silver dan Gold.
Cikgu akan mulakan dengan kursus Bronze dahulu, kemudian diikuti dengan kursus Silver dan Gold. Pautan untuk mengambil kursus Silver (berserta dengan sijil pengiktirafan dan lencana digital Bronze) hanya akan dihantar ke peti masuk emel cikgu apabila cikgu lulus kursus Bronze. Begitu juga dengan pautan kursus Gold. Cikgu perlu lulus kursus Silver terlebih dahulu.
Baca juga – Semua yang perlu anda tahu untuk lulus kursus Kahoot! Bronze
Baca juga – Semua yang perlu anda tahu untuk lulus kursus Kahoot! Silver
Baca juga – Semua yang perlu anda tahu untuk lulus kursus Kahoot! Gold
Langkah 2: Mencipta selfie kahoot
Cikgu perlu membina satu selfie kahoot dalam akaun Kahoot! cikgu berdasarkan contoh templat yang diberi.
Terlebih dahulu, cikgu perlukan buatkan satu salinan (klik pada tanda tiga titik dan pilih duplicate) kepada contoh templat tersebut. Kemudian, cikgu akan menggantikan gambar background dengan yang baharu dan memberi jawapan kepada setiap soalan yang ditanya.
Soalan-soalan yang perlu dijawab termasuklah,
- Apakah nama anda?
- Apakah mata pelajaran yang anda ajar?
- Mengapakah anda suka mengajar?
- Di manakah anda tinggal?
- Apakah yang anda suka tentang Kahoot!?
- Apakah fitur Kahoot! yang anda suka?
- Apakah maksud pembelajaran berasaskan permainan kepada anda?
- Apakah fakta menarik tentang anda?
Namun begitu, soalan 2, 3 dan 8 boleh dikeluarkan jika cikgu tidak ingin menjawab.
Setelah selesai, dapatkan pautan selfie kahoot cikgu (klik pada tanda tiga titik dan pilih Share). Pautan ini akan digunakan semasa mengisi borang permohonon nanti.
Langkah 3: Mengisi borang permohonan
Setelah diiktiraf sebagai Kahoot! Certified Gold dan berjaya menyiapkan selfie kahoot, langkah terakhir ialah mengisi borang permohonan.
Selamat membuat permohonan. Admin doakan semoga cikgu-cikgu berjaya. 🙂
Perhatian: Pihak Kahoot! akan menyemak setiap permohonan dan sekiranya cikgu berjaya dipilih, Kahoot! akan memberi maklumbalas dalam masa 45 hari selepas tarikh penghantaran borang permohonan, seperti tangkap layar di bawah.
Tips daripada Kahoot! sendiri
Oh ya sebelum terlupa, Isabella Vick dari Kahoot! turut berkongsi tips untuk berjaya diterima sebagai Kahoot! Ambassador. Antara kriteria yang dilihat pada pemohon ialah seorang warga pendidik yang sangat suka pada Kahoot!, di mana dapat dilihat pada penggunaan Kahoot! yang aktif, kerap membina kuiz Kahoot! dan juga seorang yang melihat nilai pada pembelajaran berasaskan permainan dalam bilik darjah.
Comments