Wakelet - Halaman Utama

Pernahkah anda mendengar mengenai Wakelet? Bagaimana pula dengan Pinterest? Admin percaya Pinterest adalah lebih dikenali dan ramai mungkin pernah menggunakan platform atas talian ini.

Pinterest ini berfungsi sebagai satu papan pin maya (virtual pinboard) yang mengandungi pelbagai gambar yang dikongsikan oleh pengguna. Gambar-gambar yang disimpan komputer dan juga yang terdapat di web boleh dimasukkan sebagai pin dan disusun mengikut kategori (atau dikenali sebagai board). Selain gambar, pengguna juga boleh berkongsi gambar animasi GIF dan video.

Wakelet pula mempunyai kesamaan seperti Pinterest iaitu sebagai aplikasi penanda buku (bookmarking tool), namun ia menawarkan kelainan dari segi pilihan media dan fungsi, serta sangat sesuai digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri.

Jom kita kenali apa itu Wakelet dan apa yang boleh kita lakukan dengannya?

Apa itu Wakelet?

Wakelet - Halaman Utama

Wakelet (https://wakelet.com/) telah diasaskan beberapa tahun lepas oleh seorang pemuda yang bernama Jamil Khalil. Ia merupakan satu aplikasi atas talian yang membolehkan anda untuk mengumpul dan menyimpan kandungan yang menarik, sama ada kandungan tersebut adalah milik sendiri ataupun yang dijumpai di Internet. Hampir semua boleh dimasukkan sebagai koleksi dalam Wakelet.

Keluarga Besar Wakelet
Wakelet berpangkalan di Manchester, England.

Jika Pinterest hanya terhad untuk simpanan gambar, gambar animasi GIF dan video, anda boleh lakukan lebih daripada itu dengan menggunakan Wakelet. Anda boleh menyimpan apa sahaja daripada komputer anda mahupun yang ada di Internet. Anda boleh membuat koleksi daripada gabungan video (Youtube), fail PDF, gambar, ciapan (tweet), pautan, teks, dan apa-apa sahaja fail yang ada dalam Google Drive dan OneDrive anda.

Wakelet - Simpan Kandungan dari Komputer dan Internet

Semua kandungan yang berbentuk pautan ini boleh juga diakses daripada bahagian Bookmarks.

Koleksi dan Bookmark Wakelet

Tangkap layar di bawah merupakan contoh koleksi dalam Wakelet. Kredit kepada Cikgu Mohd Fadzli Ishak (https://wakelet.com/@Fadzli_Ishak).

Conton Koleksi Wakelet

Lebih banyak contoh koleksi Wakelet yang menarik terdapat di pautan ini: https://wakelet.com/explore.

Apa kelebihan menggunakan Wakelet?

Selain daripada percuma untuk digunakan, Wakelet sebenarnya boleh digunakan untuk pelbagai tujuan oleh sesiapa sahaja. Sebagai warga pendidik, kita boleh gunakan medium Wakelet ini untuk tujuan peribadi, perkongsian bahan, kolaborasi dengan warga pendidik lain, dan juga sebagai aktiviti pelajar (pelajar berumur 13 tahun dan ke atas boleh daftar akaun Wakelet).

Cikgu boleh mencipta portfolio digital, buku cerita digital, surat berita (newsletter), ruangan simpanan bahan pengajaran dan hasil kerja pelajar, wujudkan perbincangan kelas, wujudkan ruang kolaborasi dengan warga pendidik lain dan pelajar melalui group collection, serta banyak lagi. Semua ini adalah bergantung kepada kreativiti guru dan pelajar.

Panduan dan idea untuk mencipta koleksi boleh dilayari di Wakelet Surf School (https://wakelet.com/surfschool).

Wakelet Surf School - Panduan mencipta Koleksi

Selain itu, bahan-bahan yang kita kumpulkan ini tampak tersusun apabila dijadikan sebagai koleksi Wakelet. Wakelet memberi empat pilihan layout, iaitu media view, compact view, grid view dan mood board.

Wakelet - Pilihan Layout untuk Koleksi

Wakelet juga didatangkan dengan fungsi immersive reader, di mana teks dalam koleksi boleh dibacakan terus kepada anda.

Wakelet didatangkan dengan Immersive Reader

Bukan itu sahaja, mudah untuk kita kongsikan bahan kepada orang lain, iaitu dengan hanya memberikan pautan kepada koleksi kita di Wakelet. Melalui pautan yang diberi, koleksi Wakelet boleh diakses oleh sesiapa sahaja sama ada seseorang itu memiliki akaun Wakelet atau tidak. Juga, koleksi boleh dikongsikan terus ke Google Classroom, Microsoft Teams, Reddit, Remind, dan juga media sosial seperti Facebook dan Twitter.

Berkongsi Koleksi Wakelet

Wakelet juga boleh didapati sebagai sambungan dalam pelayar web Google Chrome (Chrome extension). Sambungan ini membolehkan anda untuk menyimpan halaman web yang sedang dilayari sebagai pautan ke dalam koleksi Wakelet anda.

Sambungan Wakelet - Simpan Pautan Halaman Web terus ke Koleksi Wakelet

Dapatkan eBook Wakelet edisi Bahasa Melayu

Wakelet menyediakan buku panduan Wakelet kepada warga pendidik, dalam bentuk ebook (format PDF). Ebook ini terdapat dalam pelbagai bahasa, termasuklah dalam Bahasa Melayu. Buku Panduan Wakelet kepada Pendidik

Ebook edisi Bahasa Melayu telah diterjemahkan oleh Cikgu Mohd Azrul Bin Che Mustapha dan Cikgu Mohd Faisal Bin Fadzil, dan boleh dimuat turun daripada pautan ini: https://learn.wakelet.com/ atau guna pautan terus: http://bit.ly/WakeletEbookMY.

Jom sertai Komuniti Wakelet

Sertai Komuniti Wakelet

Wakelet mempunyai komuniti sendiri yang disertai oleh warga pendidik dari seluruh pelosok dunia. Antara manfaat sebagai ahli komuniti ialah kemudahan mendapatkan cenderamata Wakelet jika cikgu berhajat untuk mengendalikan latihan dan bengkel Wakelet.

Permohonan untuk menjadi ahli komuniti Wakelet boleh dibuat di pautan ini: http://bit.ly/wakeletbadges.

Admin telah mengumpulkan pengguna Wakelet dari kalangan warga pendidik Malaysia (Boleh rujuk koleksi Wakelet ini untuk lihat senarai guru berserta halaman Wakelet mereka) dan juga duta Wakelet Malaysia termasuklah Cikgu Mohd Azrul, Cikgu Fadzli Ishak, Cikgu Arif Zakwan dan Cikgu Goh Kok Ming.

Komuniti Wakelet Pendidik Malaysia

Jom sertai kami di Telegram Cikgu Get Certified (https://t.me/cgetcertified) untuk kita sama-sama berkongsi pengalaman, idea dan peluang untuk berkolaborasi.