Berita baik! Pengambilan peserta bagi program Google for Education Certified Innovator kohort 2020 kini dibuka untuk permohonan. Jika cikgu telah memiliki sijil pengiktirafan Google Certified Educator (GCE) Level 2, maka cikgu telah memenuhi sebahagian besar syarat untuk memohon.
Namun sebelum berbuat demikian, mari kita kenali program ini terlebih dahulu, ketahui syarat-syarat permohonan (selain memiliki GCE Level 2), dan juga membaca perkongsian yang bermanfaat oleh Cikgu Nur Afiqah dan Cikgu Adnin. Kedua-dua mereka merupakan Certified Innovator kohort 2019.
Apa itu Program Google Certified Innovator?
Kepada yang baru pertama kali mendengar tentang program ini, ianya merupakan salah satu program pembangunan profesionalisme guru yang ditawarkan oleh Google for Education. Program-program lain termasuklah GCE Level 1, GCE Level 2 dan Google Certified Trainer.

Program Google for Education Certified Innovator ini menyediakan sistem sokongan bagi warga pendidik untuk membangunkan projek-projek baharu bagi bilik darjah dan sekolah mereka. Peserta akan menyertai program pementoran selama satu tahun, bermula dengan penglibatan di Akademi Innovator.
Proses permohonan adalah sangat kompetitif dan peserta yang terpilih (anda sangat bertuah jika terpilih) akan mengikuti sesi akademi selama 3 hari di salah satu lokasi yang telah dipilih oleh peserta semasa mengisi borang permohonan.
Bagi tahun ini, terdapat empat (4) lokasi yang ditawarkan berserta dengan tarikh akademi, iaitu:
- Mexico City, Mexico; dari 27hb hingga 29hb Mei, 2020 (dalam Bahasa Sepanyol).
- Sunnyvale, California; dari 29hb hingga 31hb Julai, 2020 (dalam Bahasa Inggeris).
- Sdyney, Australia; dari 26hb hingga 28hb Ogos, 2020 (dalam Bahasa Inggeris).
- Madrid, Sepanyol; dari 7hb hingga 9hb Oktober, 2020 (dalam Bahasa Sepanyol).
Setakat hari ini, Google for Education telah melahirkan lebih daripada 2,200 orang Certified Innovator dalam kalangan warga pendidik dari lebih daripada 50 negara di seluruh dunia.
Bagaimana untuk memohon?
Program ini adalah terbuka kepada warga pendidik yang telah mengambil dan lulus ujian GCE Level 2. Selain memiliki sijil pengiktirafan GCE Level 2, pastikan cikgu juga mempunyai sejarah dalam membangunkan inovasi PdPc dan dapat mengenalpasti satu masalah/cabaran yang sedang berlaku di bilik darjah atau sekolah cikgu, di mana cikgu berusaha untuk menyelesaikannya.
Di dalam borang permohonan, cikgu akan memilih sesi akademi yang cikgu boleh ikuti jika terpilih. Yang terdekat ialah Sydney, Australia. Cikgu juga perlu merakam dan menghantar video berdurasi selama 60 saat, di mana cikgu akan menceritakan tentang masalah/cabaran tersebut dan mengapa cikgu ingin menyelesaikannya.
Permohonan boleh dibuat di pautan ini: https://teachercenter.withgoogle.com/certification_innovator.
Tarikh akhir permohonan adalah berbeza bagi setiap lokasi akademi.
- Mexico City, Mexico; tarikh tutup pada 10hb April 2020.
- Sunnyvale, California; tarikh tutup pada 5hb Jun 2020.
- Sdyney, Australia; tarikh tutup pada 10hb Julai 2020.
- Madrid, Sepanyol; tarikh tutup pada 21hb Ogos 2020.
Baca Perkongsian oleh Certified Innovator Kohort 2019
Admin telah berjaya untuk mendapatkan informasi daripada Cikgu Nur Afiqah Suhaimi (SMK Taman Desa Tebrau, Johor Bahru) dan Cikgu Adnin Azmi (SMK Sungai Tiram, Pasir Gudang) mengenai pengalaman mereka mengikuti akademi Innovator di Singapura pada tahun lepas.
Bagi Cikgu Afiqah, adalah penting bagi peserta untuk mengikuti akademi ini dengan minda yang terbuka dan bawa bersama cabaran/masalah, bukannya sekali dengan penyelesaian. Sesi akademi ini bukannya sebuah medan pertandingan antara peserta. Ianya tidak mengapa jika cikgu menemui kegagalan atau perlu mengubah pelan asal sepanjang melaksanakan projek.
Go with an open mind. When you go, go with problems – not solutions yet. Always remember, it’s not a competition. And most of all, it’s okay to fail / change your plans as you go along with your project. – Cikgu Afiqah
Manakala, Cikgu Adnin berpendapat bahawa peserta perlu membawa minda untuk belajar melalui komunikasi dan hasil kerjasama dengan peserta lain. Akademi ini bukannya untuk kita menonjolkan penyelesaian yang terbaik atau terpantas, tetapi lebih kepada keinginan untuk mencabar sesuatu masalah bersama dengan peserta lain. Ya, cikgu perlu bersedia untuk lupakan idea sendiri atau penyelesaian yang mungkin difikirkan.
Go there with a mindset to learn from communicating and cooperating with other educators. It’s more of having the mindset of wanting to challenge a problem with other teachers as opposed to going there and thinking who can come up with the best / fastest solution. And be ready to kill your own ideas / assumptions of solutions. – Cikgu Adnin
Ujar Cikgu Adnin lagi, cikgu perlu lebih fleksibel untuk menerima pandangan dan idea.
Go there to learn to be more flexible than being rooted to our own beliefs. – Cikgu Adnin
Cikgu Afiqah menambah, peserta akan pulang dari sesi akademi dengan cadangan penyelesaian kepada masalah yang telah cikgu kemukakan. Namun begitu, terdapat kemungkinan untuk cikgu merombak balik penyelesaian yang sedia ada. Bukan sekali , tetapi berulang-ulang kali disebabkan oleh beberapa cabaran dan kekangan sepanjang melaksanakan projek individu itu.
Basically, when you are there, you are going to come up with a solution to your problem. But returning here, there will be possibilities of changing / tearing apart your solutions again and again because of real life challenges and problems and hindrances. – Cikgu Afiqah
Hasil daripada perkongsian yang sangat bermanfaat ini, admin berpendapat bahawa jika cikgu ingin membuat permohonan, pastikan cikgu mempunyai daya tahan dan komitmen yang tinggi untuk melihat projek yang dijalankan itu dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sesi akademi hanyalah permulaan kepada perjalanan cikgu sebagai seorang Certified Innovator. Apapun, admin mengucapkan selamat maju jaya kepada para pemohon.
Terima kasih kepada Cikgu Afiqah dan Cikgu Adnin di atas perkongsian mereka. Kedua-dua mereka merupakan ketua komuniti bersama GEG Johor. Cikgu boleh ikuti mereka di laman web rasmi GEG Johor (https://gegjohor.weebly.com/) dan juga di Facebook (https://www.facebook.com/gegjohor/).
Ikuti juga Sesi Webinar Certified Innovator
Kepada yang berminat, bolehlah mengikuti sesi webinar 2020 mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan.
- Webinar 1: Introductory Panel and Application Overview, 16hb Mac, Isnin, jam 4pm PST (17hb Mac, Selasa, jam 8am waktu Malaysia)
- Webinar 2: Prerequisite: Level 2 Overview, 6hb April, Isnin, jam 4pm PST (7hb April, Selasa, jam 8am waktu Malaysia)
- Webinar 3: Design Thinking: Challenge Workshop, 27hb April, Isnin, jam 4pm PST (28hb April, Selasa, jam 8am waktu Malaysia)
- Webinar 4: Design Thinking: Video Workshop, 12hb Mei, Isnin, jam 4pm PST (13hb Mei, Selasa, jam 8am waktu Malaysia)
- Webinar 5: Final Application Questions and Support, 1hb Jun, Isnin, jam 4pm PST (2hb Jun, Selasa, jam 8am waktu Malaysia)
Juga boleh daftarkan diri untuk mendapat informasi dan kemaskini terkini mengenai program Certified Innovator ini.