Selamat Datang ke Blog Pendidik Digital MY

Selamat datang kepada semua pengunjung blog Pendidik Digital MY.

Selamat Datang ke Blog Pendidik Digital MY

Hari ini merupakan hari yang bersejarah kepada kami kerana perancangan kami untuk memiliki blog akhirnya tercapai jua. Ianya merupakan sebuah perancangan yang telahpun kami fikirkan sejak akhir tahun lepas lagi.

Mengapa kami buat blog?

Sebenarnya keinginan untuk membuka blog ini mula timbul selepas daripada perkongsian kami di program Classroom & Apps for Education (CAFE) Summit Negeri Johor 2019. Program ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Johor dengan sokongan Persatuan Penasihat Pusat Sumber Sekolah Negeri Johor (PPPSSNJ) dan GEG Johor.

CAFE 2019 Summit Negeri Johor

CAFE 2019 telah berlangsung pada 25 dan 26 November 2019, bertempat di BTPN Johor. Selepas penstrukturan semula oleh KPM, tempat ini sekarang dikenali sebagai Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP).

Dalam sesi perkongsian kami yang diberi tajuk, “Get Certified“, kami telah berpeluang untuk mendedahkan para peserta dengan pelbagai program “certification” boleh disertai oleh warga pendidik. Kebanyakan program ini adalah percuma, dengan pelbagai sijil digital dan “badge” disediakan.

Kebanyakan peserta berjaya memperoleh sijil dan badge Kahoot! Certified Bronze. Tahniah!!!

Justeru selepas itu, kami telah menubuhkan telegram group Cikgu Get Certified bersama-sama dengan Cikgu Herryan (pengasas Mudah Mengajar). Turut membantu sebagai admin ialah Cikgu El Gamillo (CikguEl.com) dan Cikgu Fadzli Ishak.

(Yang belum sertai telegram group kami, silakan untuk sertai kami di https://t.me/cgetcertified.)

Telegram Group Cikgu Get Certified

Tujuan penubuhan adalah untuk menyediakan satu medium perkongsian dalam kalangan para pendidik tentang program “certification” dan komuniti yang boleh disertai oleh warga pendidik. Penyertaan dalam program tersebut sedikit sebanyak dapat menyumbang kepada pembangunan profesionalisme berterusan (PPB) guru-guru, selaras dengan hasrat KPM untuk melihat peningkatan inisiatif kendiri dalam PPB.

Setelah melihat kedudukan Telegram Group ini yang semakin kukuh, kami telah memutuskan bahawa telah tibalah masanya untuk kami membuka blog supaya perkongsian kami menjadi lebih teratur dan senang untuk dirujuk oleh mereka yang berminat.

Maka lahirlah blog Pendidik Digital MY, dengan tagline “Pembangunan Profesionalisme Guru 2.0”.

Apa yang ingin kami bawakan?

Fokus utama kami adalah berkenaan dengan PPB guru-guru, di mana kami membawa kepada pengetahuan warga pendidik di negara ini tentang program-program PPB yang boleh disertai oleh warga pendidik dan pada masa yang sama juga ingin membawa guru-guru untuk menyertai komuniti pendidik yang bersifat global. Informasi ini boleh didapati di bawah topik Cikgu Get Certified.

Selain itu, kami turut akan berkongsi pengalaman, tips dan informasi untuk topik-topik seperti:

  1. Digital Ink
  2. Koding untuk Semua
  3. Manfaatkan Teknologi, dan banyak lagi.

Harapan kami agar anda semua mendapat manfaat daripada perkongsian dan informasi yang ingin kami sampaikan di blog ini. Jika terdapat sebarang komen atau idea untuk penambahbaikan, sila tinggalkan komen anda di ruangan komen di bawah.

Sekali lagi kami ucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua di atas kunjungan ke blog baharu ini.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.