Sembang Digital bersama Cheryl Ng

Siri Sembang Digital memulakan tirainya dengan sesi temubual bersama dengan Pn Cheryl Ng. Beliau yang kini menerajui rero EDUteam di Cytron Technologies (https://my.cytron.io/), sangat berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan cabaran syarikat swasta ini dalam membawa pendidikan robotik dan pengekodan kepada warga pendidik dan pelajar di seluruh negara.

Sembang Digital bersama Cheryl Ng

Sehingga kini, rero EDUteam telah memperkenalkan pelbagai modul pembelajaran dan kit robotik seperti kit robotik rero (Reconfigurable Robot), Maker UNO Edu Kit, robot rero:micro dan micro:bit Quick Start Kit.

Kit Robotik rero mula diperkenalkan pada tahun 2014
Kit robotik rero mula diperkenalkan pada tahun 2014. Ia merupakan kit pendidikan robotik hasil RnD syarikat teknologi tempatan, Cytron Technologies.

Sebelum memulakan misi ini pada awal tahun 2016, Puan Cheryl pernah berkhidmat sebagai seorang guru bahasa Inggeris di sekolah menengah di Sarawak, Johor dan Pulau Pinang, dan merupakan rakan sekerja admin di SMK Skudai pada tahun 2011. Pada hujung tahun 2013, guru lepasan University of Auckland (UoA) ini telah mengambil keputusan untuk menjadi suri rumah tangga dan menjaga anaknya yang berusia 9 bulan ketika itu sepenuh masa di rumah.

Kerjasama Suami Isteri - Jurutera dan Pendidik
Kerjasama antara pendidik dan jurutera.

Apabila anaknya mula dihantar ke playschool, beliau telah membantu dalam membangunkan modul pembinaan dan pengekodan robot rero, bersama dengan suaminya, yang bekerja sebagai design engineer di Cytron Technologies. Pada awal tahun 2016, beliau telah mengambil keputusan untuk menyertai Cytron sebagai penyelaras program pendidikan (Education Program Coordinator). And the rest is history, bak kata orang putih.

Tanpa melengahkan masa lagi, jom ikuti temubual bersama Pn Cheryl Ng.

Sembang Digital bersama Pn Cheryl Ng

Pendidik Digital MY: Selamat sejahtera, Pn Cheryl. Terima kasih kerana sudi untuk ditemubual. Puan telah memulakan kerjaya sebagai seorang guru dan kami pernah menjadi rakan sekerja suatu ketika dahulu. Bolehkah Puan menceritakan serba sedikit sejarah perkhidmatan Puan sebagai seorang pendidik?

Cheryl:Setelah menamatkan pengajian sarjana muda saya dalam bidang TESL pada tahun 2008 di University of Auckland, New Zealand, saya telah mendapat penempatan pertama saya di SMK Methodist, Sibu. Di sana, saya telah menabur bakti sebagai seorang guru bahasa Inggeris selama 3 tahun. Selepas perkahwinan saya pada tahun 2010, saya telah memohon dan berjaya mendapat penukaran ke SMK Skudai, Johor untuk bersama suami saya yang bekerja sebagai seorang jurutera di Cytron Technologies, yang ketika itu berpangkalan di Skudai, Johor (kini di Pulau Pinang).

Puan Cheryl bersama dengan pelajar SMK Skudai
Pn Cheryl bersama dengan anak didiknya di SMK Skudai.

Setelah mendapat restu daripada Pengetua, saya telah mengambil cuti belajar selama satu tahun setengah bagi melanjutkan pelajaran saya di UTM Skudai. Saya telah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pengukuran dan Penilaian pada bulan Februari 2013, dan mendapat penempatan semula di SMK Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Saya sempat berkhidmat sehingga bulan Disember pada tahun yang sama sebelum mengambil keputusan untuk meletak jawatan dan menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Anak sulung saya berusia 9 bulan pada ketika itu.

Setelah dua tahun menguruskan rumah tangga sepenuh masa, Puan telah kembali ke alam pekerjaan dengan misi baharu. Apa yang mendorong Puan untuk berbuat demikian?

Sebenarnya sejak perkahwinan kami, saya telah melihat selama 5 tahun akan usaha suami dan pasukannya di Cytron Technologies dalam merekabentuk dan membangunkan kit robotik yang dinamakan sebagai rero. Kit robotik ini merupakan impian pasukan jurutera ini untuk melihat anak-anak dan juga individu yang bukan teknikal untuk belajar membina dan mengekod sebuah robot.

Pada suatu petang, ketika anak saya sedang tidur, saya telah tertarik untuk mencuba kit robotik kepunyaan suami di rumah. Setelah mengikuti setiap arahan dalam buku modul, saya telah berjaya membina set robot pertama saya! Ya, ia merupakan satu pengalaman yang WOW bagi saya dan saya juga dapat merasai impak yang cuba dicapai oleh mereka ini.

rero EDUteam di RAC2019
Puan Cheryl (sedang berucap di pentas) bersama dengan Regional Training Partners pasukan rero EDUteam di RAC19 peringkat kebangsaan di Nilai University.

Maka apabila pengasas Cytron Technologies menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah modul pembelajaran atas talian untuk rero dan bertanya sama ada saya boleh membantu, sebenarnya saya berasa amat teruja. Ya, akhirnya jurutera dan cikgu boleh juga bekerja di bawah satu bumbung.

Setelah membuat pertimbangan selama beberapa bulan, saya telah menyertai Cytron sebagai penyelaras program pendidikan kerana saya yakin bahawa rero merupakan satu bahan pembelajaran yang amat berguna kepada kanak-kanak dan remaja. Saya ingin melihat golongan ini mendapat akses pendidikan kepada bidang robotik dan pengekodan. Visi saya adalah “To Bring Robotics and Coding to the Masses” , iaitu untuk melihat semua pelajar mendapat peluang yang sama tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka.

Saya berasa teruja dengan visi yang ingin dibawakan oleh Puan dan rero EDUteam. Boleh Puan menceritakan dengan lebih lanjut bagaimana untuk merealisasikan visi ini?

Visi kami adalah untuk membawa robotik dan pengekodan kepada orang ramai, manakala misi kami adalah untuk menyediakan pendidikan robotik dan pengekodan yang berkualiti, pada kos yang berpatutan, dan mampu dicapai oleh kanak-kanak tanpa mengira latar belakang mereka.

Inisiatif daripada rero EDUteam
Pelbagai inisiatif yang diambil oleh rero EDUteam bagi mencapai visi dan misi mereka.

Untuk mencapai visi dan misi kami ini, kami telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mencetuskan minat pelajar dalam bidang STEM, iaitu menerusi pelbagai siri bengkel, pertandingan, dan kem pembelajaran. Kami juga menjalankan program Jr Facilitator bagi menginspirasi dan membimbing pemimpin pelajar. Program seperti persidangan rero Educators dan bengkel latihan kepada guru dilaksanakan bagi memperkasakan guru dengan pengetahuan robotik dan pengekodan.

Apakah program-program yang akan dibawa oleh rero EDUteam pada tahun ini?

Kami akan meneruskan program-program tahunan yang telah dijalankan pada tahun-tahun sebelumnya. Persidangan RERO Educators 2020 akan berlangsung pada 17hb Februari bertempat di Nilai University. Kemudian, kempen jelajah kami, iaitu RERO Outreach 2020 (https://sites.google.com/view/rac2020/home) akan mula menemui warga pendidik di seluruh negara bermula 18hb Februari sehingga bulan April 2020.

Persidangan RERO Educators 2020

Pertandingan RAC2020 yang telah memasuki tahun kelima, akan berlangsung seperti biasa bagi peringkat negeri dan kebangsaan. Pertandingan RAC2020 peringkat negeri akan berlangsung dari bulan Jun hingga Ogos di 11 lokasi di seluruh negara, manakala pertandingan peringkat kebangsaan akan diadakan pada bulan Ogos (PikaBot-Maker UNO Challenge dan Build Your Own Robot Challenge) dan Oktober 2020 (Live Coding Challenge with rero:micro and Live Coding Challenge with rero Jr), masing-masing bertempat di Asia Pacific University dan Nilai University.

Apakah kejayaan yang telah dikecapi sepanjang Puan bersama dengan rero EDUteam?

Saya berasa sangat bersyukur kerana diberi peluang untuk belajar dan berkongsi apa yang telah saya pelajari. Juga kami di rero EDUteam senantiasa bekerja rapat dengan Cytron design team untuk menghasilkan kit pembelajaran yang senang untuk dipelajari dan mampu milik. Saya gembira melihat perkembangan RAC

Apakah pula cabaran yang dihadapi?

Saya masih cuba untuk menyeimbangkan antara masa bekerja dan juga masa bersama keluarga.

Di manakah Puan melihat diri puan dalam masa lima tahun dari sekarang?

Dengan keizinan Tuhan, saya ingin melihat produk tempatan yang kami hasilkan ini bagi pembelajaran robotik dan pengekodan dapat berkembang ke peringkat antarabangsa.

Terima kasih Pn Cheryl kerana sudi meluangkan masa untuk ditemubual. Admin berasa bangga dengan apa yang sedang dilakukan oleh rero EDUteam khasnya dan Cytron Technologies amnya. Semoga rero EDUteam dapat meneruskan usaha murni ini bagi melahirkan lebih ramai warga pencipta di negara kita ini. Selamat maju jaya.

Sama-sama.

Mengenai Pn Cheryl Ng

  • Latar belakang pendidikan: B.ED(TESL), University of Auckland, M.ED(Measurement and Evaluation), UTM Johor
  • Buku kegemaran: Purpose Driven Life oleh Rick Warren, The 5 Love Languages oleh Gary Chapman
  • Nasihat terbaik yang pernah diterima: “Let go and let God.”

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.