RERO Educators Conference 2020 atau Persidangan Pendidik RERO 2020 telah berlangsung dengan jayanya pada 17hb Februari yang lepas, bertempat di Nilai University, Negeri Sembilan.
Persidangan edisi kedua ini adalah anjuran bersama Nilai University dan Cytron Technologies. Menerima kehadiran lebih daripada 70 orang warga pendidik dari seluruh negara, penganjuran persidangan ini sebenarnya memberi ruang kepada warga pendidik yang bergiat aktif dengan program STEM untuk berkenalan, berkongsi pengalaman dan juga bersama-sama meneroka idea-idea untuk berkolaborasi.
Baca juga – Semua yang anda perlu tahu tentang RERO Educators Conference 2020
Berikut merupakan agenda persidangan.
Pendaftaran dibuka pada jam 8.30 pagi dan persidangan ini dimulakan pada jam 9 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin, iaitu Naib Canselor, Nilai University. Persidangan diteruskan pula dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Nilai University dan Cytron Technologies bagi tujuan kolaborasi dan mempromosi pendidikan STEM, terutamanya mengenai robotik dan pengekodan.
Persidangan ini juga menyaksikan pelancaran program tahunan RERO iaitu kempen RERO Outreach bagi tahun 2020. Ini merupakan tahun keempat berturut-turut kempen ini diadakan.
Baca juga – Kempen RERO Outreach 2020 akan bermula pada 18hb Februari ini
Ketua pasukan rero EDUteam, Pn Cheryl Ng, ketika membentangkan kad laporan RAC19 memberitahu bahawa pada tahun lepas, bengkel latihan telah disertai oleh lebih 600 orang guru dan pertandingan RERO Robotics and Coding Competition (RAC19) telah menerima jumlah penyertaan daripada 884 pasukan dari seluruh negara.
Bengkel latihan akan terus dilaksanakan secara percuma di semua negeri pada tahun ini, dan rero EDUteam berharap untuk melihat lebih banyak penyertaan baharu di RAC2020.
Seterusnya ialah sesi bengkel yang dinanti-nantikan oleh para peserta (termasuklah admin juga), iaitu sesi membina dan memprogram robot menggunakan “PikaBot – Maker UNO Smart Car Kit” (https://my.cytron.io/p-pikabot-maker-uno-smart-car-kit). Peserta kali ini ternyata bertuah kerana sesi bengkel ini merupakan bengkel PikaBot yang pertama dikendalikan oleh rero EDUteam.
Peserta membina PikaBot secara berkumpulan dengan berpandukan kepada buku panduan yang telah disertakan bersama dengan kit PikaBot ini. Kemudian diikuti pula dengan pengekodan PikaBot menggunakan perisian Arduino IDE.
Apa yang menarik tentang kereta pintar yang dikuasakan oleh Maker UNO ini ialah rekabentuk kreatif produk ini, di mana kotak produk ini digunakan sepenuhnya dalam pembinaan PikaBot ini. Admin akan mengulas lebih lanjut mengenai PikaBot ini di entri akan datang. Nantikan ya.
Selepas selesai sesi bengkel, persidangan berhenti rehat untuk makan tengahari. Selepas makan tengahari, pertandingan PikaBot Coding Challenge diadakan khas kepada peserta persidangan ini. Setiap kumpulan diberi tempoh masa 1 jam untuk menyelesaikan 3 cabaran yang telah diberi oleh pihak urusetia, di mana 3 kumpulan pertama yang berjaya menamatkan kesemua cabaran ini mendapat pingat. Admin dan isteri hanya berjaya menyiapkan 2 cabaran.
Secara keseluruhannya, RERO Educators Conference ini memberi pengalaman yang baharu dan berharga kepada admin. Ya, sangat berbaloi untuk hadir ke persidangan ini walaupun perjalanan memakan masa selama 3 jam dari Johor Bahru. Admin dapat merasai suasana keterujaan (dan juga ketegangan) yang ditunjukkan oleh para peserta ketika mengikuti sesi bengkel PikaBot. Masing-masing berlumba-lumba untuk menyiapkan pembinaan robot PikaBot dalam masa 1 jam yang diperuntukkan. Itulah suasana yang dapat kita lihat pada pelajar kita ketika berlangsungnya pertandingan.
Diharapkan para peserta dapat menyebarluaskan ilmu yang telah diperolehi daripada persidangan ini kepada rakan-rakan pendidik dan pelajar di sekolah, seperti mana yang dihasratkan oleh pihak penganjur.
Comments