Kahoot - Pembelajaran Jarak Jauh

Susulan daripada perutusan khas Perdana Menteri Malaysia pada 16 Mac yang lepas, seluruh warga Malaysia telah dikenakan perintah kawalan pergerakan bermula hari ini sehingga 31 Mac 2020 bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Dalam tempoh ini, semua sekolah dan institusi pendidikan tinggi adalah ditutup. Walaupun demikian, sesi pembelajaran masih dapat dijalankan, dengan berbantukan teknologi. Kini, pelbagai aplikasi teknologi sedang dimanfaatkan oleh warga pendidik bagi menjalankan pembelajaran jarak jauh (distance learning) bersama anak murid dan salah satunya adalah Kahoot!.

Bagaimana menggunakan Kahoot! untuk Pembelajaran Jarak Jauh?

Kuiz Kahoot! boleh dihos secara langsung (live) atau boleh juga diberi sebagai kerja rumah (challenge) kepada pelajar. Dalam situasi sekarang, mod challenge tampak lebih sesuai untuk digunakan. Namun begitu, kuiz Kahoot! masih dapat dihos secara langsung walaupun tidak diadakan di bilik darjah.

Kahoot - Pembelajaran Jarak Jauh
Kredit gambar: Kahoot!

Jom ikuti langkah-langkah berikut untuk mengadakan kuiz Kahoot! secara langsung bagi sesi pembelajaran jarak jauh bersama pelajar.

Langkah 1: Pertama sekali, log masuk ke akaun Kahoot! cikgu dan tentukan kuiz yang hendak dihos kepada pelajar.

Langkah 2: Cikgu perlukan satu aplikasi persidangan video (video conferencing) untuk mewujudkan suasana bilik darjah virtual dengan pelajar. Antara pilihan yang ada (dengan keupayaan untuk berkongsi skrin komputer) ialah Microsoft Teams, Google Meet, Skype dan Zoom. Pastikan webcam, microphone, dan pembesar suara komputer adalah berfungsi.

Langkah 3: Minta pelajar untuk menyertai sesi pembelajaran jarak jauh cikgu menggunakan komputer/laptop atau telefon pintar. Pastikan terdapat satu peranti tambahan untuk menyertai kuiz Kahoot!.

Langkah 4: Untuk hoskan kuiz, pilih “Play” dan “Host live“. Lobi kuiz akan memaparkan game pin.

Langkah 5: Berkongsi skrin komputer yang sedang memaparkan lobi kuiz Kahoot! dan meminta pelajar untuk menyertai sesi kuiz dengan memasukkan game pin yang terpapar dalam aplikasi Kahoot! di telefon pintar pelajar. Untuk makluman, bagi akaun percuma Kahoot! Basic, kuiz live boleh disertai sehingga 1,000 orang.

Kahoot - Pembelajaran Jarak Jauh
Pelajar memerlukan dua peranti, satu untuk melihat soalan, manakala satu lagi untuk menyertai dan menjawab kuiz. / Kredit gambar: Kahoot!

Langkah 6: Jalankan sesi kuiz seperti mana yang biasa dijalankan di bilik darjah.

Demikianlah cara-cara untuk hos kuiz Kahoot! secara langsung dengan pelajar menggunakan pendekatan pembelajaran jarak jauh. Semoga bermanfaat.

Nota kaki: Maklumat lanjut mengenai pembelajaran jarak jauh menggunakan Kahoot! boleh didapati di sini: https://kahoot.com/schools/distance-learning/.

Comments

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.