Admin telah berpeluang untuk menjadi salah seorang ahli panel bagi sesi webinar Waffle #1 2020. Program anjuran Frogasia ini telah ke udara di Youtube secara langsung pada jam 2.30 petang pada dua hari lepas (3hb Feb).
Bersama dengan admin sebagai ahli panel ialah Datin Nawal Salleh (mantan Pengarah Lembaga Peperiksaan KPM) dan juga Cikgu El Gamillo (pengawai SSTP Terengganu). Setiap ahli panel telah diberi slot berdurasi 5 minit bagi berkongsi informasi dan pengalaman mengenai topik utama yang diberi. Ketiga-tiga ahli panel juga diberi ruang untuk memberi pendapat masing-masing bagi soalan-soalan yang diajukan oleh moderator Cik Azima (pengawai Frogasia).
Digital Lesson Plans: Are You Ready?
Sesi webinar yang diberi tajuk, “Digital Lesson Plans: Are You Ready?”, sebenarnya ingin mengajak warga pendidik untuk beralih daripada penulisan rancangan pengajaran harian secara konvesional kepada bentuk digital, atau lebih dikenali sebagai e-RPH. Ini adalah sejajar dengan perkembangan teknologi masa kini yang menyaksikan peningkatan penggunaan simpanan awan seperti Google Drive dan OneDrive. Sesuatu teknologi yang dapat memudahkan kerja seorang guru perlulah dimanfaatkan, betul tak?
Admin telah diberi slot kedua, di mana fokus perkongsian adalah mengenai bentuk penulisan RPH yang sedia ada digunakan oleh warga pendidik, dan juga berkongsi pengalaman kaedah penulisan RPH yang pernah digunakan.
Kelebihan-kelebihan yang ditawarkan oleh e-RPH yang mana tidak terdapat pada RPH kovensional juga diberi penekanan di mana admin telah menyatakan 8 kelebihan menggunakan e-RPH.
Sebenarnya terdapat pelbagai cara dan medium yang boleh digunakan bagi penyediaan e-RPH, dan Frogasia juga tidak melepaskan peluang sesi webinar kali ini untuk memperkenalkan versi e-RPH mereka, iaitu Lesson Planner. Datin Nawal telah berkongsi informasi mengenai Lesson Planner ini, berserta dengan kelebihan-kelebihannya.
Secara amnya, Lesson Planner ini membolehkan guru-guru untuk menghasilkan e-RPH dalam platform Frog VLE. Guru-guru boleh memilih antara menggunakan templat yang telah tersedia ada (ready-made) atau menggunakan templat kosong. Kelebihan Lesson Planner ialah pautan ke Site Boost bagi topik yang akan diajar akan dimasukkan secara automatik oleh sistem. Dengan sekali klik, guru dapat mengakses Site Boost tersebut dengan mudah.
Berikut ialah rakaman penuh video sesi webinar.
Suatu pengalaman yang berharga
Ya, sememangnya suatu pengalaman yang sangat berharga. Oleh kerana ini merupakan kali kedua admin ke udara (kali pertama bersama dengan GEG Johor), maka perasaan gementar admin adalah terkawal, dan salah satu aspek yang wajar diberi pujian ialah aspek perancangan dan kemahiran koordinasi yang telah ditunjukkan oleh koordinator program iaitu Pn Safynaz (pengawai Frogasia). Beliau yang telah memastikan sesi webinar ini telah berjalan dengan sangat lancar. Tahniah!
Ucapan terima kasih kepada pihak Frogasia yang sudi menjemput admin sebagai ahli panel sesi webinar kali ini. Jangan serik ya untuk menjemput admin lagi.
Oh ya, pastikan anda stay tuned kerana video latihan secara atas talian berkenaan Frog Lesson Planner ini akan menemui anda tidak lama lagi.